Wednesday 19 September 2012

TraumaKehidupan



        ini kisah aku, yang terperangkap dalam celaka yang paling celaka. hidup aku hanya berkisar dengan latar bosan masyarakat bandar urban. mungkin kau tahu dimana tapi kau tak mungkin boleh tahu apa rasanya. aku dibesarkan dalam keluarga serba sederhana. pada mulanya, hidup aku agak mewah. makan makanan segera setiap bulan itu perkara biasa. bila bapa aku mati, sebahagian hidup aku turut ikut sama ke dalam kubur dia, tujuh kaki dalamnya. mungkin soalan aku pada mulanya kenapa tuhan tarik nyawa dia. kenapa bukan nyawa bapa si jahanam yang pernah aku bencikan. hakikatnya, aku masih muda dan perlu hadap seperti orang dewasa. aku belajar untuk tidak cengeng. aku belajar satu perkara paling penting. kalau aku nak hidup lama, aku harus gagah dan matang dengan segera. caranya mudah. garangkan diri kau sebagai perlindungan paling maksima kau boleh ada. jahanamkan bahasa santun kau supaya orang gerun dan tunduk bila terjumpa. anehnya, semua ini berjaya. aku digeruni, aku dihormati dan aku paling garang antara semua yang sebaya. aku rasa aku berjaya. rupa-rupanya, ia permulaan untuk aku jadi manusia celaka atas dunia.


        kehidupan harian aku bosan selepas dua tiga tahun kematian sang bapa. bosan kerana masalah aku dengan kau kau yang sebaya itu tak sama. aku risau balik sekolah nak beli makan guna apa. aku risau aku tak cukup masa nak siapkan kerja subjek itu, nota subjek ini. aku risau aku tak terkejar dengan perkembangan dunia. aku risau aku gila kerana fikir perkara perkara yang tak sepatutnya. maka, aku lebih suka hanyutkan diri dalam dunia aku. dunia yang aku cipta setiap malam hingga ke paginya. mimpi. sejujurnya, aku tak pernah ingat apa mimpi aku. mungkin tuhan mahu sedarkan aku yang dunia ini milik dia bukan aku yang punya. aku masih tetap tak peduli pada realiti. aku cuba jadi manusia biasa namun aku tak ada sumber yang cukup. untuk jadi manusia biasa, kau perlu ada duit, jiwa dan budi bahasa. waktu itu mana aku nak cekau semua itu? bila kau dibesarkan secara tunggal, duit bukanlah mewah. bila sebahagian jiwa kau tertanam rapat dalam tanah, jangan harap kau boleh gelak penuh dengan ikhlas. budi bahasa apa yang ada kalau aku dah jualkan santun untuk perlindungan diri. ini baru permulaan kepada celaka. baru saja bermula kisahnya.


hari ini hari persekolahan. aku dah terjaga. aku lihat ke luar tingkap. ada renyai halus sang hujan. pagi pagi begini eloknya aku teruskan tidur saja. aku tak suka sekolah. tempat itu macam neraka bila semua cikgu hendak bentuk pemikiran pelajar ikut acuan yang mereka suka. aku bukan kek cawan yang boleh digubah, dihias, diwarna ikut suka mereka. setelah berfikir selama lima saat aku putuskan untuk tidak pergi. mak aku kejut aku supaya cepat bersiap ke sekolah. macam dinding yang tak bernyawa, aku pekakkan telinga dan terus leka dalam dingin pagi. diselak daun pintu bilik dan soalan sama diaju mak seperti biasa

'kau pergi sekolah ke tidak?'

        'tak'


tanpa banyak soal, pintu dirapat semula dan sesi tidur aku boleh berlangsung dengan jayanya. aku bukan benci pada sekolah. cuma aku ada banyak perkara perlu fikir. biar. aku rasa lebih mulia begini dari ponteng merayap kesana sini. aku tak cukup kaya nak merayau berkepit tak kira jantan betina. hari hari aku biasanya begini. petang dan seterusnya tak ada sedikit pun riang. hanya garis lurus mati dari terik sang mentari sampai bintang muncul di dada langit.


makin hari, jiwa aku makin batu. aku keraskan agar secebis hiba pun tak pernah wujud pada mata dunia. keliling rasa aku normal, macam biasa. kawan rasa aku gila-gila. rabak yang ada itu aku kumpul pada satu sudut jiwa dan aku benamkan supaya tak terlihat dek ratusan mata yang memerhati aku. aku lah pameran paling berjaya waktu itu. aku bersenda berjenaka, pamer sedih bila suka, pamer gembira dalam gundah. aku yang ini, bukan aku. celakanya rasa tidak terkira bila memaksa diri pamer yang palsu. aku dah terlalu biasa sehingga aku lupa siapa aku yang sebenarnya. hilang. entah kemana.



dah sedekad lamanya kubur bertanda. aku masih bernafas dalam situasi yang sama. mungkin berkurang celakanya. aku tak pernah salahkan tuhan kerana ujian ini aku anggapkan salam rindu dari Dia. trauma aku yang satu ini masih ada. kalau perlu hadap, aku harap tak hilang terus jiwa aku ini seperti dahulu. aku harap, aku tak bangkit sebelum sempat jatuh. aku harap, aku mampu meratap hiba supaya tak lupa peritnya. kematian itu adalah satu perkara yang paling terkesan pada hidup aku. mampu mengubah persepsi dan peribadi aku. walau keras mana jiwa kau, percayalah dengan kematian kau akan rasa trauma dan hargai apa yang kau ada. andai kau tak terkesan dengan kematian, mungkin jiwa kau sudah mati sebelum masanya.


Karya Fae Ishak




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...