Sunday 9 September 2012

Ayam Hutan


Sejak kecil lagi hobi tiga sekawan, Pejan, Saleh dan Yunus ialah menjerat ayam hutan. Bermastautin di kawasan kampung, aktiviti hari minggu mereka sejak dahulu hanyalah menjerat ayam hutan. Jauh sekali hendak ke bandar untuk melepak sepanjang hari di pasaraya besar. Pengalaman mereka menjerat ayam hutan bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi ketika pertama kali mengikuti jiran mereka, Pak Sheikh, masuk ke hutan. Kini, sudah hampir 10 tahun mereka menjerat ayam hutan.

Sabtu menjelma lagi. Seperti biasa, Pejan, Saleh dan Yunus berkumpul di rumah Pak Sheikh untuk menyediakan keperluan menjerat. Bezanya kali ini, Pak Sheikh tidak mengekori. Kurang sihat katanya. Esok, awal-awal pagi mereka akan ke hutan. Kali ini lebih jauh ke dalam. Ayam hutan sudah tidak berani bermain di pinggir hutan dek kerana gangguan muda remaja yang sentiasa berusaha meramaikan umat manusia.

Ahad, 10 pagi. Mereka tiba di tengah hutan dan menjumpai tanda-tanda yang menunjukkan ayam hutan berada di situ. Pejan menyediakan tempat untuk mereka bersembunyi sambil berehat. Yunus membelai ayam jantan denak supaya ia rasa selesa. Saleh memasang jerat mengelilingi ayam jantan denak.

Apabila ayam jantan denak berkokok, ayam hutan akan tertarik dan menghampirinya. Sudah menjadi lumrah haiwan untuk mempunyai sifat menjaga kawasan. Tetapi sebelum sempat ayam hutan menghampiri ayam denak, jerat lebih dahulu menjerut kakinya. Begitulah cara mereka menjerat ayam hutan supaya tangkapan tidak cedera.


Sedang mereka berehat, kedengaran bunyi sesuatu menggelupur. “Dah kena!” bisik Saleh. Mereka bergegas untuk membuka jerutan di kaki ayam hutan pertama mereka hari ini. Sedang mereka bertiga leka mencangkung cuba membuka jerutan, sepasang kaki muncul di antara Pejan dan Yunus. Sepasang kaki bersaiz luar biasa besar entah dari mana munculnya membekukan pergerakan dan suara mereka bertiga. Lebih menakutkan, sepasang kaki itu ialah kaki ayam!



“Ini kawasan aku! Jangan ganggu cucu cicitku!” tegas makhluk yang mempunyai kaki ayam itu.



Kawasan sekeliling menjadi gelap walaupun pagi baru sahaja mengundurkan diri.

Dengan ketinggian hampir 10 kaki, berkepala ayam hutan, berbadan manusia serta berselubung lusuh, sesiapa yang melihat pasti merasa kecut perut. Makhluk itu mengulangi ayat yang sama beberapa kali dengan suara parau. Mata merahnya tidak berkelip memandang Pejan, Saleh dan Yunus.  

Tidak ada apa yang mampu dilakukan oleh mereka bertiga selain membuka langkah seribu sambil menjerit “Kami mintak ampun tok!” berulang kali. Mereka sesat dan hanya ditemui oleh penduduk kampung di bawah pohon cemara keesokan harinya.

Sejak kejadian itu, Pejan, Saleh dan Yunus mengalami demam panas diikuti trauma yang teruk. Segala benda berkaitan dengan ayam dan unggas boleh membuat mereka menjerit melolong dan bertindak ganas tak tentu fasal. Mereka mengalami trauma terhadap spesis unggas.

Pejan, pernah menjerit dan menendang meja penjual ayam semasa membawa ibunya ke pasar borong hingga hampir dipotong 8 oleh tauke ayam. Saleh, pernah bertumbuk dengan tauke kedai haiwan peliharaan kerana Saleh memukul burung kakak tua yang berharga ratusan ringgit hingga mati. Yunus, pernah menerajang beberapa ekor burung unta sampai rebah di zoo sehingga ditahan petugas zoo.



Tetapi mereka bertiga mempunyai persamaan ketika berada di dalam tandas. Kasihan ‘burung’ mereka.    
         

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...