Friday 27 July 2012

KUDRAT RAMADHAN


Dia berdiri di depan pahlawan lain. Dia berbadan tegap dan tinggi. Dia memiliki parut di muka, parut di badan terselindung di sebalik sepersalinan berdebu di tubuhnya. Dia mempunyai pedang tergantung di pinggang dan pisau belati terikat pada kasut but yang disarungnya.  Dia nampak tenang walaupun cuaca panas kering menguasai dataran lapang ini. Dia, panglima perang yang akan mengetuai pahlawan lain menentang musuh yang sudah bersedia di hadapan mata mereka.

Dapat juga aku menjadi pahlawan, membela agama, bangsa dan negara. Dah lama aku tunggu saat ni. Bukan senang nak jadi pahlawan. Penat aku latih diri supaya betul-betul bersedia nak jadi pahlawan. Setengah tahun aku menyertai rekrut barulah terpilih menyertai perang.  Syukur ya Allah.

Panglima perang mula membuka bicara. Memberi kata-kata semangat kepada para pahlawan. Memberi motivasi, meningkatkan moral dan jati diri para pahlawan sebelum mula berperang. Berperang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara daripada kezaliman musuh di hadapan mata.

Para pahlawan berteriak “Allahuakbar” beberapa kali memberi respon terhadap ketua mereka di hadapan.

Tapi… tapi… tapi sepatah perkataan pun aku tak paham. Bahasa apa yang dia tuturkan? Bunyi macam bahasa Arab? Telinga aku cuma dapat tangkap perkataan Allah, syahid, jannah, dan Ramadhan. Ya Ramadhan. Bulan puasa ke sekarang ni? Keterujaan menjadi salah seorang daripada syuhada membuatkan aku terlupa beberapa perkara penting. Apa yang ada di kepalaku hanyalah “Takbirrr”.

Patutlah bekalan makanan dan minuman sikit saja di kem.

Daripada gerak gerinya, aku dapat rasa panglima perang sudah selesai berbicara. Dia kemudian mengangkat tangan dan mengetuai bacaan doa. Walaupun berdepan mungkin kematian, hati aku tenang. Mungkin inilah manisnya jihad.

Selesai bacaan doa, panglima perang menaiki kudanya. Pahlawan berkuda juga menaiki kuda masing-masing. Pedang dihunus pantas. Pantulan cahaya terik mentari sudah menjawab persoalan ketajaman mata pedang tersebut. Sambil mengacukan mata pedang ke arah kedudukan musuh, panglima perang memacu kudanya ke hadapan. Teriakan nama Allah kedengaran. Peperangan bermula!

Pasukan berkuda di hadapan diikuti pasukan tidak berkuda. Pemanah di barisan belakang. Selaku pahlawan baru, aku tidak menaiki kuda. Berlari ke arah musuh memenatkan dan mengeringkan tekak.

Pedang di tangan kanan aku ayun ke kiri ke kanan cuba menghiris tubuh musuh. Sesekali perisai di lengan kiri aku angkat bagi mengelakkan mata pedang musuh hinggap di badan aku. Tiga musuh sudah tumpas di mata pedangku.

Sedang aku leka menetak musuh, aku dapat rasa sesuatu menujah belakang badan. Pedang. Pedang musuh. Aku nampak mata pedang menembusi perut aku. Pedang dan perisai di tangan aku terlepas. Darah pekat mengalir tetapi sakitnya cuma sekadar gigitan semut. Mungkin inilah nikmat menjadi syuhada.

Aku capai belati yang tersisip di pinggang dengan tangan kanan. Sambil tangan kiri memegang mata pedang musuh, aku berpusing lantas menikam musuh. Leher menjadi sasaran. Dia jatuh terduduk sambil memegang leher. Kudratku diragut oleh luka di perut walaupun sakitnya sekadar gigitan semut. Aku jatuh. Tertiarap. Pedang musuh masih tercacak di belakangku. Cisss! Berpantang maut sebelum ajal.

Dalam keadaan separa sedar, suara hiruk pikuk orang bertempik dan dentingan pedang berlaga kian perlahan. Mataku tertutup rapat dengan sendirinya.

Terasa ada tangan yang menepuk-nepuk bahuku dengan kasar. Aku kumpul tenaga cuba membuka mata tetapi seakan-akan tidak berdaya.

“Woi, mangkit!” “Jom jogging seround dua kat tasik UTP lepaih tu futsal kat court.” “Padia hang ni tidoq sampai asaq.”

“Aku dok larakkk” “Kae bule puaso nih”

“Posa hang jadikan alasan?” “Hang tau dak zaman dulu…”

“Errrr... yolah yolah!” “Aku smaye asar sbeta deh.” “Pukul brapo doh ni?”






Puasa tidak mengurangkan keupayaan fizikal kita dalam menjalani aktiviti seharian. Sekian, terima kasih.    

  
  

3 comments:

amrlaqm said...

apa nak jadi dgan hang ni?
hahaha

nine said...

hang ni, dasar neelopa

Unknown said...

mangkit. jgn dok tidoq ja bulan posa ni

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...