Sejak kecil lagi hobi tiga
sekawan, Pejan, Saleh dan Yunus ialah menjerat ayam hutan. Bermastautin di
kawasan kampung, aktiviti hari minggu mereka sejak dahulu hanyalah menjerat
ayam hutan. Jauh sekali hendak ke bandar untuk melepak sepanjang hari di pasaraya
besar. Pengalaman mereka menjerat ayam hutan bermula sejak di bangku sekolah
rendah lagi ketika pertama kali mengikuti jiran mereka, Pak Sheikh, masuk ke
hutan. Kini, sudah hampir 10 tahun mereka menjerat ayam hutan.
Sabtu menjelma lagi. Seperti
biasa, Pejan, Saleh dan Yunus berkumpul di rumah Pak Sheikh untuk menyediakan
keperluan menjerat. Bezanya kali ini, Pak Sheikh tidak mengekori. Kurang sihat
katanya. Esok, awal-awal pagi mereka akan ke hutan. Kali ini lebih jauh ke
dalam. Ayam hutan sudah tidak berani bermain di pinggir hutan dek kerana
gangguan muda remaja yang sentiasa berusaha meramaikan umat manusia.
Ahad, 10 pagi. Mereka tiba di
tengah hutan dan menjumpai tanda-tanda yang menunjukkan ayam hutan berada di
situ. Pejan menyediakan tempat untuk mereka bersembunyi sambil berehat. Yunus
membelai ayam jantan denak supaya ia rasa selesa. Saleh memasang jerat
mengelilingi ayam jantan denak.
Apabila ayam jantan denak
berkokok, ayam hutan akan tertarik dan menghampirinya. Sudah menjadi lumrah
haiwan untuk mempunyai sifat menjaga kawasan. Tetapi sebelum sempat ayam hutan
menghampiri ayam denak, jerat lebih dahulu menjerut kakinya. Begitulah cara
mereka menjerat ayam hutan supaya tangkapan tidak cedera.
Sedang mereka berehat, kedengaran bunyi sesuatu menggelupur. “Dah kena!” bisik Saleh. Mereka bergegas untuk membuka jerutan di kaki ayam hutan pertama mereka hari ini. Sedang mereka bertiga leka mencangkung cuba membuka jerutan, sepasang kaki muncul di antara Pejan dan Yunus. Sepasang kaki bersaiz luar biasa besar entah dari mana munculnya membekukan pergerakan dan suara mereka bertiga. Lebih menakutkan, sepasang kaki itu ialah kaki ayam!
“Ini kawasan aku! Jangan ganggu
cucu cicitku!” tegas makhluk yang mempunyai kaki ayam itu.
Kawasan sekeliling menjadi gelap walaupun pagi baru sahaja mengundurkan diri.
Dengan ketinggian hampir 10 kaki,
berkepala ayam hutan, berbadan manusia serta berselubung lusuh, sesiapa yang melihat
pasti merasa kecut perut. Makhluk itu mengulangi ayat yang sama beberapa kali dengan suara parau. Mata merahnya tidak berkelip memandang Pejan, Saleh dan Yunus.
Tidak ada apa yang mampu
dilakukan oleh mereka bertiga selain membuka langkah seribu sambil menjerit “Kami
mintak ampun tok!” berulang kali. Mereka sesat dan hanya ditemui oleh penduduk
kampung di bawah pohon cemara keesokan harinya.
Sejak kejadian itu, Pejan, Saleh
dan Yunus mengalami demam panas diikuti trauma yang teruk. Segala benda
berkaitan dengan ayam dan unggas boleh membuat mereka menjerit melolong dan
bertindak ganas tak tentu fasal. Mereka mengalami trauma terhadap spesis
unggas.
Pejan, pernah menjerit dan
menendang meja penjual ayam semasa membawa ibunya ke pasar borong hingga hampir
dipotong 8 oleh tauke ayam. Saleh, pernah bertumbuk dengan tauke kedai haiwan
peliharaan kerana Saleh memukul burung kakak tua yang berharga ratusan ringgit
hingga mati. Yunus, pernah menerajang beberapa ekor burung unta sampai rebah di
zoo sehingga ditahan petugas zoo.
Tetapi mereka bertiga mempunyai
persamaan ketika berada di dalam tandas. Kasihan ‘burung’ mereka.
No comments:
Post a Comment