Monday, 11 June 2012

AIMAN


Aiman mengelap tangan kanan menggunakan sapu tangan. Kemudian dia mengelap tangan kiri pula. Begitulah rutin harian Aiman. Aiman seorang pengidap penyakit Palmar Hyperhidrosis atau dalam bahasa mudahnya penyakit tapak tangan berpeluh. Walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti, tapak tangan akan mengeluarkan peluh dengan banyak dan ia berada di luar kawalan pengidapnya. Ia tidak menyakitkan namun kualiti hidup Aiman terganggu. Keyakinan untuk bersosial berkurangan. Mana tidaknya, asal nak bersalam je, tergopoh-gapah si Aiman mengelap tangan. Pernah juga Aiman ditegur pensyarah kerana kertas jawapan peperiksaannya basah!


Bandar Metropolitan Seri Iskandar,

“ Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan, rumah ku pun teda ada pun bapa punya. ” “ Aiman! Cepat lah basuh motor tu! Kita pi makan kat Seri Iskandar Mall. ” Rafiq seakan menjerit dari dalam rumah sewa mereka. “ Sekejap lagi. Dah nak siap ni wei!”  Aiman menjawab. “ Orang tunggu dia boleh pulak dia nyanyi-nyanyi suka hati. “ Dengus Dollah. Bengang gamaknya melihat perangai sambil lewa Aiman.

Burppppp...Alhamdulillah.

Selepas selesai menjamah rezeki masing-masing, mereka berjalan-jalan di Seri Iskandar Mall tanpa arah tuju. Ramai umat manusia. Maklumlah hari minggu. “ Tolongggg! Peragutttt! Tolongggg! “ Seraya mereka bertiga menoleh ke arah empunya suara. Seorang wanita lingkungan 40-an terduduk sambil memerhati seorang lelaki melarikan beg tangannya. “ Rupanya dia ni lah yang selalu meragut di sini!” getus hati Aiman. “ Jom kejar!” Rafiq dan Aiman terkejut dengan suara Dollah yang seakan menjerit. Serentak mereka bertiga mengejar peragut itu.

Hampir 5 minit berlari, hanya Aiman sahaja yang masih mengejar peragut itu. Rafiq dan Dollah sudah tidak kelihatan. Penat gamaknya. Walaupun penat, Aiman tidak mahu mengalah, sudah lama dia berdendam dengan peragut tersebut. Kerana peragutlah ibunya terlantar selama seminggu di hospital. Dia berazam mahu menghukum semua peragut menggunakan peraturan sendiri tanpa berlandaskan undang-undang negara. Akhirnya peragut tersebut termasuk ke jalan mati. Tidak ada pilihan lain, dia terpaksa berhadapan dengan Aiman untuk melepaskan diri.

Aiman mengepal penumbuknya. Penyakit tapak tangan berair semakin menjadi-jadi. Air peluh kelihatan menitis dari celah genggaman kemas penumbuk Aiman. “ Masa ni lah penyakit aku ni nak datang! ” getus Aiman dalam hati. Belum sempat Aiman mengatur nafasnya, peragut itu menyerangnya. Dibius rasa ketakutan tertangkap, peragut itu seakan-akan mempunyai kekuatan luar biasa. Penumbuk sulung hinggap di pipi Aiman. Aiman terundur ke belakang. “ Cehh! Budak hingusan ada hati nak mencabar aku! “ peragut itu menyindir Aiman. Melihat kelekaan peragut, dengan pantas tumbukan padu dilayangkan ke perut peragut. Peragut tertunduk sambil memegang perut. Basah baju peragut dek terkena peluh Aiman. Tanpa berlengah dia membalas dengan membelasah Aiman bertubi-tubi. Marah gamaknya.

 Aiman tewas. Ternyata peragut itu bukan lawan Aiman. Rafiq dan Dollah entah ke mana masih belum tiba. Aiman terbaring lemah dan hanya mampu melihat sambil menghulurkan tangan seolah-olah tidak mahu melepaskan peragut itu. Saat itulah air tersembur keluar dari tapak tangan Aiman. “ Peluh aku? ” getus hati Aiman. Dia amat terkejut dengan air yang begitu banyak terkeluar dari tapak tangannya. Mengikut gerak hati, Aiman mengarahkan kedua-dua tapak tangannya ke arah peragut dan menumpukan perhatian. Air memancut keluar daripada kedua-dua tapak tangan Aiman. Daya tolakan air yang kuat membuatkan peragut terdorong ke hadapan dan melanggar tiang lampu. Peragut itu terbaring kaku. Pengsan. Hujan mulai turun. Pandangan mata Aiman yang kehabisan tenaga mulai gelap.


Hospital Bandar Universiti,

Aiman membuka mata. Dia melihat Rafiq dan Dollah berada di kiri dan kanan katil. Aiman cuba bangun tapi Dollah menghalang. “ Mak bapak kau dalam perjalanan dari Kedah.” “ Doktor cakap badan kau kekurangan air. Dehidrasi. “ Rafiq menjawab soalan yang hanya Aiman suarakan dari dalam hati. “ Kami jumpa kau pengsan. Peragut kami dah hantar ke balai polis.” Dollah pula bersuara. “ Terima kasih. Boleh bagi masa aku berehat? Penat lah kena belasah. ” Mereka ketawa tetapi perlahan sahaja kerana tidak mahu mengganggu pesakit lain.
                
Aiman mengeluh sebaik sahaja mereka meninggalkannya untuk berehat. Dia masih bingung dengan kejadian tengahari tadi. Keliru antara realiti dan fantasi, Aiman membuat keputusan mahu menguji dirinya sendiri. Aiman melipatkan jari-jarinya menjadi bentuk pistol seperti yang selalu dibuat ketika zaman kanak-kanak dahulu. Dia menumpukan perhatian. Seraya air terpancut keluar daripada hujung jari telunjuk Aiman hingga mengenai pesakit di katil hadapan yang sedang tidur. Pesakit tua itu kebingungan dengan air yang menitik di mukanya sambil memerhatikan jikalau ada kebocoran di siling hospital. Aiman hanya tersenyum melihat gelagat pak cik itu.

“ Baru aku tahu kenapa tapak tangan aku selalu basah. ” Aiman berbicara di dalam hati. “ Aku  akan gunakan kelebihan aku untuk jalan kebaikan. “ Aiman kembali memejamkan mata sambil memikirkan nama ‘superhero’ yang sesuai untuk dirinya. Aiman, Airman. Ya. Airman, ‘superhero’ yang boleh mengeluarkan air daripada tapak tangan. Aiman tersenyum sendiri.






Adakah anda pengidap penyakit Palmar Hyperhidrosis? Atau anda ada mengidap penyakit-penyakit lain? Mungkin anda juga seperti Aiman, ehh, Airman...
                        
    



1 comment:

Wawa.Wafiyyah said...

kahkahkah..comel juga superhero macam ni..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...